Wednesday, 25 August 2010

Pengembaraan kehidupan

Masa berlalu. Tahun demi tahun, hari demi hari.. adakah ia cukup mematangkan kita? Hidup adalah satu pengembaraan. Umpama suatu marathon. Penamatnya adalah pasti- kematian. Kita mungkin satu partikel kecil dalam kehidupan. Sukar mungkin untuk kita menghembuskan nafas terakhir sebagai seorang yang terkenal. Adolph Hitler, Mussolini, Para nabi, Nelson Mandela dan lain lain mungkin terabadi dalam kitab-kitab atau doktrin-doktrin sebagai penyumbang sesuatu dalam kehidupan walaupun setelah kematian mereka. Bagaimana dengan kita? Adakah kita sebagai penumpang dunia yang akhirnya pergi seperti debu berterbangan.

Apa yang pasti kita bukan mat rempit. Hidup dibesarkan dengan kepayahan ibu bapa dan akhirnya mati begitu sahaja.

Pencarian makna kehidupan ataupun
existensialism kita masih suatu misteri. Tuhan menjadikan kita atas suatu asbab. Kita harus mencari asbabnya. Dan selagi sebab kejadian kita tidak terlaksana, kita mungkin bisa masih hidup. Firaun dikenali sebagai antagonis agama, barulah ia mati. Mahathma Gandhi terkenal sebagai Negarawan barulah ia mati. Kita pula akan mati sebab apa dan sebagai apa?

Baiklah. Topik ini nampaknya semakin berat. Saya bawa anda menelusuri ke keadaan yang mudah.

Anggap kehidupan ini sebagai suatu tren yang bertolak dari Tanjong Pagar, Singapura. Anggap hentian kita adalah saat kematian kita. Anggap hentian jarak dekat adalah saat hidup yang pendek manakala hentian maksimum tren adalah Pattani, Thailand.( kerana pasti umur kita ada maksimumnya sekitar 60-90 tahun).

Bagaimana kalau kita sampai ke Pattani, 670km dari Tanjong Pagar tetapi kita tidur sepanjang perjalanan? Dengan kata lain menjalani hidup yang membosankan tetapi umur kita panjang. Wah. Umur yang panjang itu baik. Tetapi adalah baik berhenti di Stesen Kluang, 80 km dari Tanjong Pagar tetapi perjalanan itu mempunyai permandangan yang cantik, dapat berbual dengan ramai orang dan perjalanan yang penuh warna warni berbanding perjalanan ke Pattani tetapi menyakitkan dan membosankan.

Itulah kehidupan. Kita memilih untuk menjadi siapa kita.

Dalam kerjaya, saya memilih kerjaya perguruan kerana ingin membentuk manusia manusia yang bermacam ragam. Kematian itu pasti, dan biarlah saya mati puas berkorban membentuk bangsa yang lebih baik. Dengan negara yang berbilang ras, agama dan kedudukan, saya perjudikan semua yang ada untuk membentuk bangsa yang gemilang. Itulah saya.

Kerjaya yang lain tentunya mencabar dan membangunkan suatu-suatu negara, bahkan disajikan dengan gaji yang puluhan ganda banyaknya dengan gaji seorang guru, tetapi saya tak bisa menanggung kesengsaraan bila bertanya sumbangan saya terhadap kehidupan ini kelak.

Apapun kerjaya dan tugas anda dalam hidup ini, pastikan anda berbuat sesuatu untuk kebaikan umat manusia.

Nizar. 14 ramadhan.

No comments: